Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) bersama Yusri Mohamad (kiri) bergambar ketika melancarkan empat buku terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini. foto NIZAM ZAIN, 05 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) melancarkan empat buku terbitannya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Salah sebuah buku tersebut ditulis sendiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang bertajuk Solat itu Mudah.

Manakala tiga lagi buku terbitan Yadim bertajuk Al-Rahiq Al-Makhtum: Sirah Nabawiyyah, Contemporary Ijtihad: An Analysis of Individual and Collective Approaches dan Buku Sumber Rujukan Guru: Pendidikan Islam Sekolah.

Buku Solat itu Mudah setebal 110 halaman membicarakan mengenai isu-isu berkaiatan solat dengan mengambil kira kepentingan serta kedudukannya sebagai rukun Islam kedua selepas bersyahadah.

Ia juga menjelaskan mengenai hukum-hakam dan cara-cara solat yang lengkap beserta dengan kupasan dalil-dalil terperinci dan dipersembahkan dengan gaya bahasa yang mudah difahami beserta makna bacaan, gambar serta ilustrasi.

Turut dimuatkan adalah sejarah kewajipan solat, panduan solat bergambar, cara bersolat bagi orang sakit, amalan-amalan yang digalakkan selepas solat serta tips bagaimana khusyuk dalam solat.

Selain beliau, Yang Di Pertua Yadim, Dr Yusri Mohamad turut menyumbang penulisannya dalam buku bertajuk Contemporary Ijtihad: An Analysis of Individual.

Buku setebal 249 halaman itu memberikan keseluruhan pengetahuan berguna dalam menentukan sikap, amalan dan keperluan berijtihad dalam menyelesaikan kemelut umat.

Dr Yusri turut menggariskan keperluan wajar bagi membolehkan amalan berijtihad dilihat sebagai satu sumber hukum yang wibawa dan boleh diterima umum. – MalaysiaGazette