Individu yang ingkar boleh didakwa

LANGKAWI – Peningkatan peratusan pelajar universiti yang sanggup menerima dan memberi rasuah berdasarkan kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membimbangkan ketua pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Dzulkifli berkata Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dibuat SPRM tahun lepas menunjukkan 16 peratus daripada 1,000 orang mahasiswa yang menjadi responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa.

“Angka ini membimbangkan kerana kajian (yang sama pada) 2015 menunjukkan 10.7 peratus manakala pada 2014 hanya 11.3 peratus pelajar yang menyatakan kesanggupan untuk menerima rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Seminar Graduan Holistik anjuran bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kementerian Pendidikan Tinggi dan SPRM di sini.

Dzulkifli berkata statistik SPRM bagi tempoh di antara 2013 dan Oktober 2016 menunjukkan 1,045 orang daripada 1,092 orang pesalah rasuah yang ditahan adalah mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Bercakap kepada media selepas program itu, beliau berkata SPRM sekarang telah meningkatkan lagi perhatian mereka untuk mendidik golongan muda ini bagi menyemai semangat membenci amalan rasuah.

“Penekanan juga diberi bukan sahaja di peringkat universiti tetapi kita juga akan cuba untuk memastikan usaha-usaha pendidikan (pencegahan rasuah) ini dijalankan daripada peringkat awal lagi,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Dzulkifli dalam kenyataan medianya berkata golongan muda khususnya mahasiswa harus teguh berdiri bersama-sama SPRM dan menggembleng tenaga bagi mencegah gejala rasuah daripada terus menghakis nilai-nilai masyarakat yang mencacatkan kemakmuran negara.

“Isu rasuah merupakan isu rakyat dan golongan muda mahasiswa perlu sentiasa bersama SPRM di barisan hadapan bagi membela isu-isu yang berkisar tentang rakyat khususnya golongan miskin serta penduduk di desa yang merasa ditindas,” katanya.

Selain itu, Dzulkifli berkata sebagai permulaan, sejumlah 2,000 pegawai SPRM di seluruh negara akan turun pada Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) untuk bertemu dan mendampingi rakyat bagi menyebar luas mesej Gerah yang akan dilancarkan pada Isnin ini.

“SPRM akan menjadi agen penggerak kepada gerakan revolusi ini dan melalui gerakan revolusi tersebut dan kami akan meresap sokongan rakyat bagi memastikan agenda penentangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa menjadi agenda nombor satu negara.

“Oleh itu, saya ingin mengambil ruang dan peluang ini untuk mengajak dan menggesa para mahasiswa di seluruh negara agar turut sama-sama menyokong hasrat SPRM bagi memastikan mesej dan gerakan revolusi ini sampai kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA