Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR – Sultan Muhammad V mahu setiap lapisan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus meletakkan kesetiaan di tahap tertinggi agar kedaulatan negara tidak digugat.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, taat setia dan kecemerlangan ATM adalah legasi yang telah diwariskan oleh pejuang terdahulu yang berkorban demi bangsa dan negara.

“Beta menyeru kepada pewaris ATM supaya melonjakkan kedudukan angkatan ini ke puncak yang lebih tinggi dan mercu kegemilangan yang mutlak.

“ATM hendaklah terus melipatgandakan segala daya dan usaha untuk memperkasakan tahap siap sedia dan mempertingkatkan tahap keterampilan warganya agar angkatan tentera beta berdiri gah dan disegani,” titah baginda pada Istiadat Perbarisan Memuliakan Seri Paduka sempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Dalam titahnya baginda turut berpuas hati dengan pencapaian ATM yang telah berjaya melaksanakan peranannya sebagai tiang seri pertahanan dan kedaulatan negara, dan baginda turut menggelarkan ATM sebagai sebuah angkatan yang serba boleh.

Pada istiadat itu baginda disambut dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam kehormatan sebanyak 21 das.

Baginda turut memeriksa perbarisan terdiri daripada 26 pegawai dan 588 anggota lain-lain pangkat bagi ketiga-tiga perkhidmatan ATM yang diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sebaik selesai pemeriksaan barisan ATM, sembilan buah pesawat terdiri daripada tiga pesawat Agusta, sebuah pesawat Superlynx, sebuah pesawat Nuri, dua buah pesawat EC725 serta dua pesawat Fennex terbang di ruang udara bagi upacara lintas hormat.

Laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di dataran itu pada penghujung istiadat disusuli dengan bacaan doa.

Turut hadir ke istiadat itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta panglima dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. – MalaysiaGazette