Pasukan forensik Indonesia memeriksa kerusi di sebuah restoran di Bali yang diletupkan oleh Kumpulan JI pada tahun 2005. foto Agensi

JAKARTA – Jemaah Islamiah (JI) telah membina sebuah unit bersenjata rahsia dan menambah bilangan militan muda, meningkatkan kebimbangan bahawa kumpulan pengganas itu semakin kuat, kata pakar-pakar memerangi keganasan.

Penganalisis keselamatan serantau telah pun mencipta istilah “neo-JI” untuk menggambarkan ancaman baharu muncul daripada saki-baki kumpulan di sebalik pengeboman Bali pada tahun 2002.

Ada juga yang percaya bahawa JI akan melancarkan serangan lagi, setelah kumpulan itu dihancurkan oleh agensi-agensi keselamatan selepas serangan di Hotel JW Marriott dan Riz Carlton di Jakarta pada tahun 2009.

Walaupun Kumpulan IS di Iraq dan Syria (ISIS) menjadi tajuk utama namun bahaya yang ditimbulkan oleh JI tidak boleh diabaikan, kata pakar keselamatan, Bilveer Singh.

“Ia dalam keadaan persediaan untuk menyerang apabila masa itu sudah tiba.” kata, pakar keselamatan, Bilveer Singh.

Pembatasan tindakan JI sejak lapan tahun lalu tidak bermakna kumpulan itu telah lenyap, kata beliau, sebalik mereka telah mengambil keputusan strategik untuk bersembunyi sejajar dengan konsep I’dad yang menyokong persediaan mendalam untuk mengambil bahagian dalam jihad masa depan.

Wawan Hari Purwanto, penasihat kepada Agensi Memerangi Keganasan Indonesia berkata, JI telah berkembang di Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Adalah sukar meramalkan mereka dengan tepat kerana ia beroperasi bawah tanah,” katanya sambil menyifatkan gerakan JI berbahaya.

Satu laporan oleh Institut Analisis Dasar Konflik (Ipac) pada 27 April mengesahkan bahawa JI telah membina sayap bersenjata haram dan melakukan rekrut di kampus universiti tempatan.

Penyusupan ideologi radikal di kampus merupakan ancaman yang semakin meningkat untuk keselamatan Indonesia, Ketua Menteri Keselamatan Wiranto pada Khamis lalu.

Kementerian Pengajian Tinggi pula mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan langkah-langkah mencegah penyebaran pandangan radikal di kampus.

Walaupun JI yang telah menolak ISIS dan penggunaan keganasan di Indonesia, tetapi tidak semua bersetuju dengan doktrin tanpa kekerasan.

Ipac berkata, penangkapan 18 orang sejak 2014, kebanyakannya atas kesalahan senjata api, dan penemuan sebuah kilang senjata JI, mencadangkan kumpulan itu masih kekal memberi ancaman.

Bekas ahli JI yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu The Sunday Times, kumpulan itu telah menyembunyikan sebahagian senjata sejak peringkat awal lantaran itu tidak semua dapat dirampas oleh pihak berkuasa.

Para penyelidik Ipac juga percaya ahli-ahli muda yang diberi latihan mungkin tidak sabar untuk menguji kemahiran mereka.

“Bahayanya tidak begitu banyak terhadap kepimpinan sedia ada akan kembali mengganas.

“Jika pengambilan berterusan, sayap yang militan mungkin berpecah, seperti yang telah berlaku berulang kali dalam sejarah panjang JI,” katanya.

Professor Bersekutu, Singh berkata, punca kebangkitan kumpulan itu disebabkan oleh Al-Qaeda yang terus memberi inspirasi kepada JI – juga telah membina semula dalam bayang-bayang ISIS.

“Setelah mengharungi pelbagai cabaran keselamatan dan jangkaan lebih banyak ahlinya dijangka dibebaskan daripada tahanan pada tahun akan datang, JI bersedia untuk memainkan peranan utama dalam mencabar keselamatan Indonesia.

“Itu akan memberi akibat yang serius kepada Asia Tenggara,” katanya. – MalaysiaGazette