KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), pengeluar gula bertapis terbesar negara menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM370,100 kepada asnaf di negeri Perlis.

Dalam majlis anjuran bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), penyerahan zakat bernilai RM250,500 telah diagihkan kepada 167 asnaf bersama barangan produk harian keluaran jenama Saji dan Gula Prai.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.

Sumbangan berjumlah RM30,000 telah diserahkan kepada Masjid Al-Husna, Batu Bertangkup dan sumbangan bernilai RM10,000 kepada setiap Maahad Tahfiz Al-Barakah, Maahad Tahfiz Al-Barqiy dan Maahad Tahfiz Nurul Saadah bagi tujuan menaiktaraf
kemudahan.

Manakala setiap tiga rumah telah menerima sumbangan bernilai RM10,000 untuk tujuan penambahbaikan dan sebanyak 16 unit ‘water cooler’ telah diserahkan kepada 16 sekolah di sekitar negeri Perlis. – MalaysiaGazette