Khairy Jamaluddin

PULAU PINANG – Siri Jelajah Transformasi Negara 2050 (TN50) yang berlangsung di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini disifatkan paling berjaya sepanjang 10 siri penganjurannya setakat ini.

Perkara itu diakui sendiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang teruja dengan penglibatan lebih 3,000 peserta pelbagai kaum sepanjang dua jam program tersebut berlangsung.

Malah, siri jelajah peringkat Pulau Pinang itu juga mencatat sejarah selepas mengumpul paling banyak aspirasi yang dilontarkan peserta iaitu 84 daripada 47 peserta yang majoritinya terdiri daripada mahasiswa USM.

Penganjuran kali ini juga mencatat jumlah tontonan secara langsung Facebook paling tinggi iaitu lebih 100,000 penonton.

Berkongsi aspirasi itu dengan pemberita selepas program jelajah tersebut, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, peserta dalam siri kali ini memberi pandangan cukup jelas berkenaan pengukuhan sistem pendidikan negara pada masa depan.

Antaranya, kata beliau, berhubung pelaksanaan sekolah satu aliran ke arah mewujudkan satu bangsa Malaysia sebenar yang tidak lagi dibezakan menerusi kaum.

“Bagaimanapun TN50 tidak menetapkan sebarang keputusan sama ada akan melaksanakan sekolah satu aliran ini kelak.

“Ini kerana pada peringkat ini, kita masih lagi bergerak mendekati rakyat khususnya golongan muda untuk mengumpul pandangan dan aspirasi mereka dalam pelbagai aspek kehidupan untuk dicapai menjelang 2050,” katanya.

Tambah beliau, siri jelajah di negeri ini juga menyaksikan harapan tinggi generasi muda untuk melihat sebuah persekitaran kehidupan yang lebih mapan dengan gaya hidup lebih berkualiti.

Menurut beliau, aspek itu merupakan sesuatu yang baik dan positif apabila pembangunan negara tidak lagi diukur kepada pencapaian ekonomi semata-mata, sebaliknya turut menekankan kepada aspek kesejahteraan hidup