Zamzamzairani Mohd Isa menerima Anugerah CEO Terbaik dalam majlis Anugerah Telekom Asia, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) terus menambah koleksi kemenangannya apabila diiktiraf sebagai penerima anugerah tertinggi di majlis Anugerah Telekom Asia kali ke-20 yang
diadakan sempena dengan persidangan Telecom Asia 8th Telco Strategies di sini.

Syarikat telekomunikasi itu membawa pulang anugerah Penyedia Telekom Asia Terbaik dan Penyedia Jalur Lebar Terbaik.

Manakala Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM telah dinobatkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Telecom Terbaik, menjadikan malam tersebut istimewa dan bermakna buat TM.

Tahun ini, TM dan anak syarikatnya VADS Lyfe menerima enam pencalonan bagi majlis anugerah tersebut termasuklah CEO Terbaik, Penyedia Terbaik Jalur Lebar, Rakan Strategik Paling Inovatif, Pendekatan Analitikal Paling Inovatif, Projek Komuniti Telekom Terbaik dan Penyedia Borong Terbaik Antarabangsa.

Memasuki tahun ke-20, Anugerah Telecom Asia merupakan anugerah industri telekomunikasi paling lama dan paling berprestij di rantau ini.

Ia mengiktiraf prestasi inovatif dan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh penyedia perkhidmatan di Asia dan eksekutif-eksekutif dalam industri.

Pemilihan Anugerah Telecom Asia telah dinilai oleh sebuah panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar industri yang mengundi atas dasar inovasi, prestasi kewangan, teknologi, peneraju pasaran dan tadbir urus korporat.

Senarai pendek bagi tahun ini – menampilkan pencalonan daripada 55 buah syarikat dari 15 pasaran Asia Pasifik – menyaksikan para hakim mengiktiraf inovasi dan pencapaian dalam pasaran-pasaran membangun dan baharu, serta melibatkan penyertaan dari yang paling banyak bidang dalam sejarah 20 tahun penganjuran anugerah ini. – MalaysiaGazette

Comments are closed.