BEIJING – China mengukuhkan lagi peraturan Internet dengan mengetatkan kawalan ke atas enjin carian dan portal berita dalam talian.

Ia adalah langkah terbaharu Presiden Xi Jinping untuk mengekalkan kawalan Parti Komunis dalam kandungan Internet.

Kedaulatan siber menjadi keutamaan China dalam kempen menyeluruh untuk meningkatkan keselamatan.

Beliau juga telah menegaskan semula peranan Parti Komunis yang memerintah dalam mengehad dan membimbing perbincangan dalam talian.

Pembangunan dan pembaharuan pelan budaya lima tahun yang dikeluarkan oleh parti dan Majlis Negeri, atau Kabinet bertujuan menyempurnakan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan Internet.

Ia termasuk sistem kelayakan untuk orang yang bekerja dalam berita dalam talian, mengikut perancangan, kata agensi berita rasmi Xinhua.

“Ia bertujuan menangani khabar angin, maklumat berbahaya, berita palsu, peras ugut, media dan wartawan palsu,” katanya tanpa memberi perincian lanjut.

Xi menjelaskan media mesti mengikut garis parti, memberi bimbingan yang betul kepada pendapat awam dan menggalakkan “propaganda positif”.

Pelan itu merupakan sejajar dengan kawalan ketat ke atas penggunaan Internet sedia ada, termasuk menyekat laman web asing yang popular seperti Google dan Facebook.

Kerajaan minggu lalu mengeluarkan peraturan yang lebih ketat untuk portal berita dalam talian dan pembekal rangkaian.

Pengawal selia mengatakan kawalan itu adalah perlu dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin meningkat dan ia dilakukan mengikut undang-undang. – MalaysiaGazette