Khairy Jamaluddin bercakap semasa sidang media pada Majlis Kiraan Detik 100 Hari Sukan SEA ke 29 di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Berikutan keputusan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan perlawanan sulung kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara diadakan di Pyongyang 8 Jun depan, Khairy Jamaluddin mahu negara berkenaan memberi jaminan keselamatan terhadap skuad bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan berkata, ini kerana negara itu bukan sahaja pernah mengalami ketegangan diplomatik dengan Malaysia, malah Korea Utara ketika ini juga mempunyai krisis keselamatan dengan beberapa buah negara lain yang memungkinkan ancaman keselamatan kepada skuad bola sepak kebangsaan.

“Kita tidak ada larangan penerbangan ke Korea Utara, cuma kita harap pihak mereka memberi jaminan keselamatan terhadap pasukan kita. Bukan hanya ketegangan Malaysia dan Korea Utara yang sudah diselesaikan sebelum ini, namun Korea Utara menghadapi pelbagai isu dengan dunia luar.

“Kita amat berharap pasukan kita selamat dan dapat melangsungkan perlawanan tersebut serta mereka dapat pulang ke Malaysia dengan selamat terutamanya apabila melibatkan jaminan keselamatan, itu yang paling penting. Apabila AFC sudah buat keputusan, maka kita perlu akur dengan keputusan itu,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan AFC yang mahu skuad bola sepak negara meneruskan perlawanan berkenaan bulan hadapan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AFC malam semalam, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa kerajaan tidak mengenakan larangan memasuki negara tersebut.

Keputusan berkenaan bagaimanapun berbeza dengan pendirian FAM sebelum ini yang tetap bertegas mahu perlawanan berkenaan diadakan di gelanggang berkecuali sebagaimana isu perlawanan Malaysia-Palestin.

Dalam mesyuarat pada 25 April lalu, keputusan FAM untuk tidak beraksi di Pyongyang dibuat selepas mengambil maklum akan pandangan serta ulasan daripada pihak Kementerian Luar ekoran kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Terdahulu perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara sepatutnya dilangsungkan pada 28 Mac lepas tetapi terpaksa ditangguhkan hampir tiga bulan atas permintaan FAM yang mahu ia diadakan pula di gelanggang berkecuali. – Malaysia Gazette