SINGAPURA – Harga minyak dunia naik dalam dagangan hari ini, selepas OPEC berikrar untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran minyak selepas separuh pertama tahun ini.

Jaminan itu diberikan selepas bekalan minyak keseluruhan masih tinggi dan memberi kesan kepada pasaran.

Niaga hadapan Brent, penanda aras antarabangsa berada pada sekitar AS$49.60 setong pada 0045 GMT (Selasa), naik 0.5 peratus daripada penutup terakhir.

West Texas Intermediate (WTI) pula diniagakan pada AS$46.66 setong menokok 0.5 peratus berbanding hari sebelumnya.

Semalam, pemimpin OPEC Arab Saudi berkata, pihaknya akan melakukan apa sahaja untuk mengimbangkan pasaran yang dibelenggu dengan lebihan bekalan sejak dua tahun lalu menyebabkan harga minyak jatuh di bawah paras AS$50 setong.

Sejak awal tahun ini OPEC dan negara bukan OPEC termasuk Rusia telah mengurangkan hampir 1.8 juta tong sehari.

Bagaimanapun, usaha OPEC terjejas kerana peningkatan berterusan dalam pengeluaran oleh Amerika Syarikat, terutama daripada aktiviti penggerudian minyak syal.

Pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat meningkat lebih 10 peratus sejak pertengahan 2016 kepada 9.3 juta tong, hampir kepada pengeluaran Rusia dan Arab Saudi. – MalaysiaGazette