Ketagihan kronik terhadap dadah yang mahal ini dikatakan turut menjadi antara penyumbang kepada berlakunya pelbagai kes-kes jenayah termasuklah pecah rumah, samun dan ragut, bagi membolehkan pelakunya memperoleh wang segera untuk membeli bekalan.

SEREMBAN – Permintaan terhadap dadah sintetik atau syabu dalam kalangan anak peneroka Felda di negeri ini menunjukkan trend peningkatan meskipun harganya lebih mahal berbanding dadah jenis heroin yang sebelum ini lebih popular di kawasan itu.

Ketagihan kronik terhadap dadah yang mahal ini dikatakan turut menjadi antara penyumbang kepada berlakunya pelbagai kes-kes jenayah termasuklah pecah rumah, samun dan ragut, bagi membolehkan pelakunya memperoleh wang segera untuk membeli bekalan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Muhamad Zaki Harun berkata permintaan dadah jenis syabu hampir menyamai permintaan dadah jenis heroin yang sebelum ini lebih popular di kawasan-kawasan Felda disebabkan sifat mahu mencuba dan merasa pelbagai jenis dadah.

“Untuk itu mereka memerlukan wang yang lebih banyak dan apabila tiada wang, inilah yang menyumbang kepada berlakunya kes jenayah di kawasan sekitar.

“Kita akui terdapat kaitan bahawa sekiranya ada penagih di sesuatu kawasan, maka akan berlakulah jenayah sampingan yang lain bahkan ada juga di kalangan penagih mencuri getah dan kelapa sawit untuk dijual memandangkan harga komoditi itu ketika ini agak mahal. Kiranya mereka akan melakukan apa sahaja jenayah asalkan mereka memperoleh wang untuk membeli bekalan,” katanya kepada Bernama.

Katanya selain itu, pengambilan air ketum juga merekodkan permintaan tinggi ketika ini, bahkan polis turut menemui ladang ketum dan tempat memproses air ketum di daerah Jempol yang diusahakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Lebih membimbangkan, pengedar ketum yang ditahan itu berasal dari kawasan Felda, sekaligus memudahkan lagi bekalan dadah diperoleh anak-anak Felda di kawasan berkenaan, katanya.

Muhamad Zaki berkata berdasarkan statistik tangkapan berkaitan dadah di Felda di seluruh Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 67 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Operasi telah kita jalankan di kawasan Felda di daerah Kuala Pilah, Tampin, Jelebu dan Jempol dan mendapati kenaikan dari segi tangkapan pada tahun ini iaitu seramai 136 orang berbanding 81 orang dalam tempoh sama tahun lepas, katanya.

Meskipun pelbagai usaha membanteras penyalahgunaan dadah dilaksanakan, beliau berkata selagi ia mendapat permintaan, selagi itulah akan adanya bekalan dan bagi memastikan kegiatan kegiatan itu dapat dihapuskan secara holistik, elemen permintaan dan penawaran perlu diperangi habis-habisan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat melakukan tangkapan terhadap para pembekal di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan bermula tahun ini, PDRM akan memberi tumpuan lebih khususnya kepada tangkapan terhadap pembekal melalui pengumpulan maklumat, percakapan dan risikan saksi yang telah ditahan dan mereka ini akan ditahan di bawah akta tersebut.

“Meskipun ketika ditahan tiada barang pada mereka, tetapi berdasarkan maklumat yang diperoleh dan kita telah sahkan bahawa individu terbabit memang ada kaitan dengan kegiatan berkaitan dadah dan juga telah kenal pasti laluan pembekalan dadah yang dilakukannya, barulah tangkapan dibuat, itu pun selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), katanya.

Mengenai statistik rampasan dadah, Muhamad Zaki berkata bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, polis telah merampas pelbagai jenis dadah seperti heroin seberat 2.35 kilogram (kg), ganja (2.66 kg), daun ketum (46.77 kg) dan pil erimin 5 (612 biji) bernilai RM138,306 melibatkan tangkapan seramai 1,839 orang.

Katanya polis turut mengesan taktik pengedaran terbaharu syabu yang dibungkus dalam pek minuman buah-buahan ‘Fruit Powder Drinks’ dan dijual dengan harga RM300 bagi paket seberat empat gram di kelab-kelab hiburan.

Dalam tempoh sama, Muhamad Zaki berkata polis juga telah menahan seramai 23 orang dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dengan 14 daripada mereka dipercayai turut terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.

“Tahun lepas di bawah undang-undang ini, seramai 70 tangkapan telah dibuat. Tahun ini kita tingkatkan tangkapan di bawah akta ini dan kita percaya dibawah undang-undang ini juga usaha kita akan lebih berjaya kerana kita menyekat bekalan meskipun ketika suspek ditahan, tiada dadah ditemui pada mereka, tetapi kita mempunyai risikan yang telah memperoleh maklumat mengenai kegiatan suspek.

“Kita juga akan sasarkan pusat-pusat hiburan di kawasan bandar seperti Seremban, Nilai dan Port Dickson yang mana kita memang tahu ada unsur pengedaran dadah berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki turut menyeru agar orang ramai supaya memberikan kerjasama dengan membantu menyalurkan maklumat kepada polis bagi memerangi penyalahgunaan dan bekalan dadah secara berkesan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Noorzainy Mohd Noor langkah pembasmian dadah yang dilakukan PDRM termasuk di daerah itu yang mempunyai 36 kawasan rancangan Felda, berjaya mengurangkan indeks jenayah di kawasan tersebut.

Beliau berkata berdasar statistik rampasan dadah bagi kategori bekalan bagi tahun lepas, heroin merekodkan rampasan tertinggi iaitu sebanyak 1,041 gram diikuti syabu dengan 132 gram manakala bagi kategori permintaan pula, ketum merupakan rampasan tertinggi iaitu sebanyak 285 liter, diikuti heroin (24 gram), ganja (21 gram) dan syabu (13 gram).

“Untuk tahun ini dari Januari hingga Mac, heroin kekal merekodkan rampasan tertinggi bagi kategori bekalan diikuti syabu, begitu juga dengan ketum yang merekodkan rampasan tertinggi bagi kategori permintaan iaitu sebanyak 92 liter, diikuti syabu 24 gram; ganja 12 gram dan heroin empat gram,” katanya.

Pada tahun lepas, beliau berkata sebanyak 39 tangkapan dibuat di bawah kategori bekalan manakala 225 tangkapan bagi kategori permintaan 209 tangkapan, penagihan melibatkan 486 individu berusia antara 14 hingga 40 tahun ke atas.

Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, Noorzainy berkata 111 individu ditahan melibatkan 111 tangkapan di daerah tersebut. – BERNAMA