Idris Jala

KUALA LUMPUR – Malaysia masih berada pada landasan sebenar untuk mencapai status negara mahu pada tahun 2020 meskipun berhadapan dengan cabaran iklim ekonomi semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, jurang pendapatan negara kasar (PNK) per kapita tahunan hanya 15 peratus daripada yang ditetapkan oleh Bank Dunia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

PNK per kapita negara ialah AS$10,570 (kira-kira RM45,900), kurang 15 peratus berbanding AS$12,475 (RM54,200) yang ditetapkan oleh Bank Dunia pada tahun 2015.

Bagaimanapun, disebabkan oleh kelembapan ekonomi global, Bank Dunia belum menetapkan PNK pada 2020.

Sebaliknya, ia telah menurunkan kadar itu bagi 58 negara sejak dua tahun lepas,” katanya selepas pelancaran Laporan Kumpulan Bank Dunia bagi Pengalaman Malaysia dengan Pemandu di sini.

Idris menambah, daya saing ekonomi negara dan pemulihan eksport masih lagi positif buat Malaysia.

“Jika eksport negara baik meskipun penyusutan dalam ekonomi dunia, ia memberi petanda baik kepada Malaysia,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun Malaysia sebuah negara kecil tetapi jumlah dagangan termasuk eksport dan import negara masih besar berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar.

Idris, bagaimanapun melahirkan kebimbangan pengukuhan dolar Amerika Syarikat.

“Malaysia telah mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2015 yang lalu jika nilai mata wang ringgit berada pada RM3.20 berbanding dolar pada 2010,” katanya. – MalaysiaGazette