Salah sebuah resort di Pulau Apulit,Taytay Palawan.

MANILA – Pengganas dipercayai merancang menculik pelancong asing di Palawan, kepulauan popular di Filipina.

Amaran itu dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat selepas sebulan percubaan penculikan di destinasi pelancongan lain oleh kumpulan militan Abu Sayyaf gagal.

Tentera Filipina dalam satu kenyataannya berkata, mereka berkongsi kebimbangan yang sama dengan kerajaan Amerika Syarikat dan telah meningkatkan tahap keselamatan di Palawan.

Kedutaan Amerika Syarikat mengenal pasti dua lokasi sasaran penculik iaitu di ibu kota Puerto Princesa dan kawasan berdekatan sungai bawah tanah yang telah menarik beribu-ribu pelawat setiap hari.

Puerto Princesa terletak kira-kira 400 kilometer (240 batu) di barat laut di kepulauan selatan – merupakan kubu kuat Abu Sayyaf.

Kumpulan Abu Sayyaf cuba melakukan penculikan di Pulau Bohol, sebuah destinasi pelancongan popular di tengah Filipina, tetapi berjaya ditumpaskan.

Pasukan keselamatan berjaya mengesan kehadiran kumpulan militan sehari selepas mereka tiba di Bohol dengan bot laju dan berlaku pertempuran yang mengorbankan sembilan ahli Kumpulan Abu Sayyaf dan empat lagi termasuk anggota tentera dan polis.

Serbuan di Bohol dilakukan selepas beberapa hari Kedutaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran penculikan di sana. – MalaysiaGazette