Dr. Ahmad Shukri Ismail

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) membantah sekeras-kerasnya cadangan PMCare Sdn. Bhd. (PMCare) yang mahu mengenakan yuran temujanji dan yuran pembaharuan panel yang dikenakan ke atas klinik-klinik panel.

PMCare didakwa mahu mengenakan yuran temujanji sebanyak RM5,000 kepada klinik-klinik yang baharu mendaftar dengannya dan yuran tahunan sebanyak RM250 lagi bagi klinik-klinik yang berjaya memperbaharui panel tahunan.

Yuran temujanji itu dikuatkuasakan mulai 1 April 2018.

PMCare adalah syarikat pentadbir pihak ketiga (TPA) yang bertindak mengutip bayaran-bayaran daripada syarikat-syarikat yang memberikan kemudahan kesihatan dan rawatan ke klinik-kilinik swasta.

Ini bermakna bil rawatan klinik swasta akan dibayar oleh TPA, iaitu PMCare.

Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, cadangan PMCare itu jelas syarikat berkenaan ternyata melanggar undang-undang pengasingan yuran yang dikenakan sekarang ini.

Pada masa ini, pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik panel PMCare bukan sahaja dikenakan bayaran rundingan dan ubat, tetapi juga bayaran RM2 bagi setiap pesakit.

Dr. Ahmad Shukri berkata, Perdim membantah cadangan PMCare ini kerana ia akan menaikan bayaran perkhidmatan dan rawatan kepada para pesakit.

Lantaran itu, Perdim mahu Menteri Kesihatan membawa akta baharu yang digubal oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) untuk mengawal selia semua TPA berdaftar di bawahnya.

Malah, beliau mahu semua TPA diwajibkan berdaftar di bawah CKAPS supaya ia boleh dikawal selia di bawah Akta TPA dan Akta Kemudahaan Penjagaan dan Perkhidmatan 1998 (PHSA).

“Unit CKAPS juga perlu mengeluarkan lesen bagi pemegang syarikat TPA, dengan ini lesen mereka boleh ditarik balik seandainya gagal mengikut garis panduan Akta TPA dan PHFSA dalam memberi perkhidmatan sebagai TPA.

“Ini kerana TPA telah mengaut keuntungan dengan menjadi orang tengah antara klinik swasta dan syarikat-syarikat tertentu,” kata Dr. Ahmad Shukri kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, sebelum ini Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut mengenakan bayaran RM2,000 atas alasan yuran penyelenggaraan dan sekarang PMCare pula.

“Kami khuatir jika Perdim tidak bersuara, perkara sama turut akan dilakukan oleh panel-panel lain pula.

“Perlu ada kawalan undang-undang TPA agar pihak-pihak terlibat tidak boleh mengenakan caj bayaran sesuka hati,” katanya.

Tambah beliau, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang mengawal selia doktor swasta dan undang-undang sedia ada gagal mengawal TPA kerana bukan semua TPA berada dalam kawalan MMC disebabkan ada TPA yang berdaftar dan sebaliknya dengan CKAPS.

Selain itu, akta sedia ada yang mengawal selia doktor-doktor swasta seperti Akta PHFSA 1998 juga tidak dapat berbuat demikian atas alasan mereka di luar bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sedangkan akta mengawal selia TPA yang digubal oleh CKAPS sepatutnya sudah boleh dikuatkuasakan oleh KKM untuk membantu rakyat mendapat layanan kesihatan yang murah dan terjangkau,” ujarnya. – MalaysiaGazette