Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai menerima barangan berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan program pembangunan membabitkan keperluan asnaf, anak yatim dan golongan memerlukan.

PULAU PINANG – Umat Islam di negeri ini tidak perlu bimbang dengan sumbangan wang zakat mereka kepada Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) ekoran penahanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga kakitangan agensi itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dalam negeri, Datuk Abdul Malik Kasim berkata, ini kerana penahanan pegawai ZPP itu adalah bagi membantu siasatan yang menjurus kepada penyelewengan peribadi, bukannya melibatkan wang atau aset dimiliki ZPP.

Dalam masa sama, kata beliau, Ahli Lembaga ZPP juga akan bermesyuarat esok sebelum mengadakan pertemuan dengan kakitangan agensi itu bagi memastikan pentadbiran agensi berkenaan berjalan lancar dan tidak tergugat ekoran siasatan SPRM tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengakui juruaudit bebas pernah dipanggil oleh ZPP untuk membuat pemeriksaan berikutan wujud laporan terhadap proses tender bagi urusan pembelian pada 2015.

“Bagaimanapun, juruaudit bebas itu tidak menemukan sebarang unsur penyelewengan dalam pemeriksaan mereka namun mengesyorkan supaya beberapa prosedur berkaitan kewangan diperketatkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, empat kakitangan ZPP termasuk CEO berusia 50 tahun ditahan SPRM bersama tujuh kontraktor bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat yang diperuntukkan untuk projek pembangunan masyarakat sejak tiga tahun lalu.

Lebih mengejutkan, CEO yang berkhidmat di ZPP sejak 1995 itu turut dipercayai memberikan bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, pihaknya setakat ini juga tidak membuat sebarang ketetapan berhubung kedudukan CEO dan kakitangan ZPP sehingga SPRM selesai menjalankan siasatan.

Sekiranya kesemua mereka didakwa di mahkamah, jelas beliau, Ahli Lembaga ZPP akan mengambil tindakan mengikut prosedur dan mekanisme ditetapkan agensi itu termasuk menjalankan siasatan dalaman.- MalaysiaGazette