Toh Chai Eun (kanan) bersalaman dengan Pengerusi Surau Austin Perdana, Mohd. Khaiidzir Ismail.

JOHOR BAHRU – Selepas hampir seminggu, pemandu kereta yang dipukul jemaah di surau di Austin Perdana kerana membunyikan hon sehingga mengganggu solat Jumaat, tampil membuat permohonan maaf kepada seluruh masyarakat Islam hari ini.

Toh Chai Eun, 28, yang ditemani abangnya, Toh Chai Chung, 30, membuat permohonan maaf itu dalam satu perjumpaan di pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di sini. Permohonan maaf itu dibacakan oleh wakilnya, Mahadzir Abu Said.

Perjumpaan itu turut disertai oleh barisan ahli jawatankuasa surau berkenaan yang diketuai Pengerusinya, Mohd. Khaiidzir Ismail.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut.

Menerusi permohonan maaf itu, Chai Eun menyatakan harapan agar kes tersebut dapat diselesaikan dan tidak menyinggung mana-mana pihak dan Bangsa Johor.

“Saya tidak berniat jahat atau ingin menyinggung perasaan dengan membunyikan hon kereta pada masa itu,” katanya yang mengharapkan kes itu tidak dipanjangkan atau terus disebarkan sekali gus tidak mahu sehingga ia menjejaskan keharmonian pelbagai kaum.

Chai Eun menjelaskan, apa yang berlaku pada waktu itu adalah kerana dia terperangkap dalam kesesakan jalan dan sedang dalam perjalanan menguruskan urusan penting sebelum keretanya dirosakkan dan dia cedera sehingga membataskan pergerakan dan percakapannya.

Sementara itu, Mohd. Khaiidzir berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dan tidak dipanjangkan.

“Kami mengucapkan terima kasih atas pertemuan ini yang sememangnya tidak dijangka meskipun perkara ini berlaku diluar surau,kami sebagai jawatankuasa telah mengambil langkah-langkah yang perlu,” katanya.

Dalam insiden Jumaat lalu, seorang lelaki dipukul kerana membunyikan hon di hadapan surau Austin Perdana menyebabkan sekumpulan jemaah surau merosakkan sebuah kenderaan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandunya yang membunyikan hon ketika solat Jumaat sedang didirikan.

Kejadian yang dirakamkan dalam video berdurasi 1 minit 10 saat itu menyaksikan sekumpulan jemaah masjid berkenaan merosakkan kenderaan yang dipandu oleh seorang individu di pekarangan surau berkenaan. – MalaysiaGazette.