Lakaran artis Bandar Malaysia

KUALA LUMPUR- IWH-CREC Sdn. Bhd. sudah menerima pembayaran balik deposit sebanyak RM741 juta yang dibayar sebelum ini bagi tujuan pembelian sebanyak 60 peratus kepentingan Bandar Malaysia Sdn. Bhd.

The Edge Financial Daily melaporkan, pemulangan kembali deposit itu bermakna penjualan 60 kepentingan Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion secara rasminya telah ditamatkan dan sekaligus menyaksikan TRX City Sdn. Bhd., boleh mencari pelabur baharu bagi membangunkan kawasan bekas pengkalan udara Sungai Besi itu.

“Semasa dihubungi The Edge Financial Daily, IWH CREC mengesahkan penerimaan deposit tersebut namun enggan memberi komen lanjut berhubung penamatan penjualan kepentingan tersebut secara tiba-tiba,” lapor akhbar berkenaan.

IWH CREC adalah anak syarikat usahasama 60:40 di antara Iskandar Waterfront Holdings Bhd. (IWH) dengan syarikat milik kerajaan China, China Railway Engineering Corp. (M) Sdn. Bhd. (CREC).

Ahli perniagaan Tan Sri Lim Kang Hoo memegang 63 peratus kepentingan di dalam IWH manakala bakinya milik Kumpulan Prasaran Rakyat Johor Sdn. Bhd.- MalaysiaGazette