Kuala Lumpur- Tenaga Nasional Bhd. menyelesaikan pengambilan alih 50 peratus kepentingan di dalam Vortex Solar Investment S.A.R.L (Vortex Solar) bagi mengendalikan portfolio 365 megawat  (mw) solar PV di United Kingdom menerusi Vortex Solar UK Limited.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata, pengambilan alilh itu dibuat oleh anak syarikat milik penuhnya, TNB International Sdn. Bhd.

“Pengambilan alih syarikat dengan nilai sekitar 470 juta pound ini membuatkan objektif utama pelan peluasan antarabangsa lima tahun TNB, tercapai.

TNB merancang untuk menguasai sehingga 250 mw kapasiti projek tenaga diperbaharui menjelang 2020,” katanya.

Syarikat tenaga itu membiayai pengambilan alih tersebut menerusi hasil terbitan sukuk sebanyak AS$750 juta.

“Dengan ini kami bangga dapat menyempurnakan pengambilan alih sebuah perniagaan solar yang besar di Britain yang merupakan satu peluang yang jarang-jarang didapati.

“Ini akan membantu kami mencapai matlamat di dalam segmen tenaga diperbaharui sejajar dengan pelan peluasan antarabangsa TNB dengan setahun lebih awal daripada jadual,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir Azman Mohd. Said dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, aset tersebut merupakan pelaburan yang bagus dengan penambahan pendapatan segera.- MalaysiaGazette