Reaksi bertenaga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengelilingi stadium pada Majlis Sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO perlu mengambil kira pengundi di luar parti bagi memastikan parti itu terus berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menurutnya, ahli UMNO yang berjumlah tiga juta sahaja tidak mencukupi dan memerlukan sokongan serta undi daripada penyokong Barisan Nasional (BN) sebagai satu gabungan.

“Yang akan memenangkan kita adalah rakyat diluar sana. Dengan itu untuk menunjukkan solidariti UMNO saya rasa cukup puas hati dengan himpunan malam ini.

“Banyak lagi kerja yang kita kena lakukan kerana dalam PRU14 yang penting rakyat yang bukan ahli UMNO. Mereka akan tentukan jatuh bangun dan kelangsungan UMNO,” katanya kepada media selepas mengiringi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dalam sambutan ke 71 parti itu di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Lebih 100,000 ahli UMNO membanjiri stadium berkenaan sempena sambutan ke 71 parti itu.

Ujar Hishammuddin, apa yang disampaikan Presiden UMNO dalam ucaptama perasmian parti itu hari ini adalah merupakan harapan yang perlu digalas setiap kepimpinan parti mahupun ahli agar rakyat terus memberikan kepercayaan kepada UMNO untuk mengemudi BN.

“Ini menunjukkan bahawa harapan yang diletakkan di atas bahu kita oleh Presiden begitu tinggi. Tetapi sekurang-kurangnya semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO hari ini memberikan kita keyakinan bahawa sesungguhnya di peringkat akar umbi dan bila kita gerakkan ahli kita mereka keluar ramai-ramai.

“Yang penting sekarang bagaimana kita boleh terjemahkan semangat itu kepada gerakan pilihan raya kerana yang ada di dalam stadium tidak mencukupi untuk memenangkan semua calon BN,” katanya lagi.

Terdahulu Najib yang juga Perdana Menteri berkata beliau kini berasa semakin bersemangat dan yakin dengan perjuangan parti kerana tidak lagi berasa keseorangan.

Najib menegaskan, perasaan itu lahir disebabkan beliau kini dikelilingi pemimpin UMNO yang berdiri teguh atas dasar prinsip dan taat setia kepada pemimpin dan parti. -MalaysiaGazette.