Datin Seri Wan Azizah Ismail ketika diwawancara oleh Al-Jazeera.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui hanya menjadi pemimpin sementara untuk menunggu suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar daripada penjara dan kemudiaan memberi laluan untuk menjadi perdana menteri.

Dalam wawancara dengan Al-Jazeera, Wan Azizah diasak pengacara terkenal Mehdi Hasan yang mempersoalkan langkahnya sanggup berundur bagi memberi laluan kepada Anwar yang ketika ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun akibat kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mehdi bertanya kepada Wan Azizah adakah beliau sanggup menjadi pemimpin sementara untuk suaminya dan mengekalkan jawatan selaku ketua pembangkang sekarang ini semata-mata untuk Anwar.

“Tidak mengapa. Jadi kamu menerima bahawa kamu pemimpin sementara untuk suami kamu? Kamu mengekalkan kerusi panas itu untuk beliau kembali semula? (That’s fine. So you’re accepting then you’re a seat warmer for your husband? You’re keeping the seat warm for him to come back?)” soal Mehdi.

Wan Azizah dengan nada bersahaja menjawab “tidak kisah” dan mengakui itu sememangnya rancangan politik pembangkang untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri.

“Saya tidak kisah. (I don’t mind. Yeah),” jawab Wan Azizah.

Mehdi juga bertanya kepada Wan Azizah mengapa sanggup membuat langkah sedemikian walaupun menyedari Anwar kini masih di penjara.

Wan Azizah menjawab ia tidak menjadi masalah kerana Anwar seorang pemimpin lebih baik dan seorang pentadbir yang berkelayakan.

Anwar dijatuhi hukuman pada pada 10 Februari, 2015 dan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.

Ini bukan kali pertama Wan Azizah memberi laluan kepada suaminya, pada Julai 2008 beliau meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil.

Kemudiaan, Wan Azizah sekali lagi terpaksa menggantikan tempat Anwar di Permatang Pauh susulan sabitan kes mahkamah pada 2015. – MalaysiaGazette