Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
KUCHING – Wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon yang dilucut kelayakannya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dikatakan boleh mencabar keputusan tersebut di mahkamah namun peluangnya dilihat adalah tipis untuk mencapai keputusan positif.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini berikutan keputusan yang dibuat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam adalah selari dengan peruntukan undang-undang dan keistimewaan yang dimiliki Dewan tersebut.

Berdasarkan pengalaman, beliau yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata sejak awal lagi Dr Ting sudah hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya kerana beliau memiliki kewarganegaraan Australia.

“Dari sudut perlembagaan, tindakan DUN Sarawak adalah betul dan wajar. Berdasarkan keistimewaan Dewan pula, walaupun seseorang itu telah dipilih rakyat sebagai wakil mereka tetapi Dewan ragu-ragu dia boleh dikeluarkan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Surau Nurul Hidayah di Kampung Cemerlang di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata sebagai sebuah negara demokrasi, Dr Ting boleh membawa keputusan tersebut ke mahkamah.

“Jika keputusan itu dibawa ke mahkamah, mahkamah akan melihat sama ada tindakan (keputusan) ini adalah sebagai keutamaan Dewan. Kalau mahkamah tafsir tindakan DUN Sarawak sebagai bidang kuasa serta keistimewaan, dengan sendiri mahkamah tidak boleh tentukan sama ada tindakan DUN betul atau tidak kerana itu di luar bidang kuasa mahkamah, di bawah perlembagaan,” katanya.- MalaysiaGazette