Gambar Mufti Wilayah bersama Allahyarham Haron Din yang juga pengasas Darussyifa.

BANGI – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa).

Beliau menyifatkan tanggungjawab itu berat kerana Allahyarham Datuk Haron Din mahu Darussyifa menjadi institusi perubatan Islam terkemuka di dunia.

“Berat untuk menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang penasihat kepada Darussyifa.

“Semoga kita semua dapat melaksanakan hasrat yang ditinggalkan oleh Al-Marhum Tuan Guru kepada kita. InshaAllah,” ujarnya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Tugas Zulkifli ialah sebagai sumber rujukan dalam hal berkaitan agama.

Turut dilantik adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainal Rijal Abu Bakar dan Pakar Perunding Otorhinolaryngologi Hospital Serdang, Dr. Mohamad Doi yang masing-masing dipertanggungjawab memberi pandangan dan nasihat dalam hal berkenaan undang-undang dan perubatan moden.

Pengerusi Darussyifa, Abdul Rahman Ahmad berkata, pelantikan itu akan memudahkan jawatankuasa Darussyifa membuat rujukan serta mendapat pandangan secara spesifik daripada pakar berkaitan dalam menjalankan urusan seharian, sekaligus memperkasakan lagi perkhidmatan yang ditawarkan.

Darussyifa yang mempunyai cawangan di seluruh negara dan Allahyarham Haron sendiri mempunyai ramai anak-anak muridnya yang belajar ilmu perubatan Islam.

Allahyarham Haron juga merupakan Mursyidul Am Pas semasa hayatnya.- MalaysiaGazette