Seramai 140 pelajar dan empat pensyarah tiba di kawasan air terjun berkenaan pada jam 11.30 malam dan sepatutnya turun jam 5 pagi Sabtu.

KUALA LUMPUR – “Arwah begitu teruja semasa memaklumkan hendak menyertai aktiviti ini semalam kerana dia dipertanggungjawabkan menjadi ketua kumpulan..namun, saya tidak sangka akan berakhir dengan tragedi.”

Demikian reaksi bapa Md Sukri Yassin, 52 bapa pelajar Universiti Teknolog MARA (UiTM) Puncak Alam, Muhammad Kamil, 22, yang maut dihempap pokok ketika mengikuti program ikhtiar hidup di air terjun Lata Charok, Janda Baik di sini, semalam.

Katanya beliau sempat mengingatkan anak ketiganya daripada lapan beradik itu supaya berhati-hati dan menjaga diri sepanjang menyertai program tersebut.

“Sebagai bapa, siapa tidak sedih apabila kejadian sebegini menimpa anak yang kita sayang, namun, sebagai orang Islam, kita reda dengan apa yang berlaku,” katanya yang juga pensyarah di Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur.

Md Sukri yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bentong kelihatan tenang sambil menunggu urusan bedah siasat selesai dijalankan sebelum menunaikan solat jenazah di unit berkenaan.

Jenazah Muhammad Kamil kemudian dibawa keluar dari bilik mayat pada 8.15 malam tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ibu Kota, Setapak malam ini. – MalaysiaGazette