Gambar hiasan

PULAU PINANG – Kedudukan tiga Exco Pas dalam Kerajaan PKR Selangor bakal ditentukan dalam mesyuarat jawatankuasa parti itu yang akan diadakan pada Khamis depan.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin berkata, perkara itu akan diumumkan kelak sekiranya keputusan mengenainya dicapai dalam mesyuarat berkenaan.

Menurut beliau, Pas sudah menjangkakan PKR akan meminta ketiga-tiga Exco berkenaan meletak jawatan selepas Majlis Syura Ulama bersetuju supaya tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara parti itu dengan PKR dibatalkan.

“PAS Pusat menyerahkan kepada lujnah politik yang bertugas sepenuh masa untuk menentukan kedudukan tiga Exco berkenaan dalam Kerajaan PKR Selangor,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Kepala Batas, di sini hari ini.

Kedudukan tiga Exco Pas berkenaan iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad; Datuk Dr. Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib sehingga kini terus menjadi tanda tanya ekoran keputusan Pas memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan tiga Exco berkenaan meletak jawatan namun perkara itu dinafikan Exco berkenaan.

Ditanya mengenai teka-teki kedudukan tiga Exco berkenaan, Hashim berkata, Mohamed Azmin sebenarnya boleh menamatkan tanda tanya itu dengan merombak barisan Exconya.

“Persoalannya kenapa beliau tidak berbuat demikian?

“Sebab itu Majlis Syura Pas menyerahkan kembali kepada jawatankuasa Pas pusat untuk membuat keputusan mengenai kedudukan Exco berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette