PUTRAJAYA – Seorang pengurus projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan seorang wanita yang direman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah, dibebaskan hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 55 dan 51 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Kedua-dua individu terbabit sebelum ini dilaporkan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan tender pembekalan barangan pengubahsuaian pejabat TNB di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut jurucakap SPRM, kedua-dua suspek ditahan pasukan penguat kuasa SPRM di sebuah lokasi di Lembah Klang pada 10 Mei lalu.

Katanya, selaku pengurus projek, lelaki tersebut didakwa bertindak mengagihkan tender projek kepada kontraktor lain, sedangkan ia sepatutnya diagihkan kepada syarikat panel di bawah TNB.

Sebagai habuan di atas pemberian tender berkenaan, lelaki itu dikatakan menerima sebuah kereta BMW 5 Series daripada suspek, iaitu seorang wanita yang juga pemilik syarikat pengubahsuaian terbabit.

Kerja pengubahsuaian berkenaan dipercayai berlaku pada tahun 2014 di beberapa pejabat TNB di Kuala Lumpur, kata jurucakap itu. – MalaysiaGazette