Shahrizat Abdul Jalil bercakap pada sidang media selepas Program Ramadan Datang Lagi di Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima, Kepong. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2017.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berucap pada Program Ramadan Datang Lagi di Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima, Kepong. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2017
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berucap pada Program Ramadan Datang Lagi di Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima, Kepong. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO bakal mempertaruhkan gandingan antara calon baharu dan berpengalaman bagi mewakili sayap parti Melayu itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau memberi jaminan Wanita UMNO akan menurunkan calonnya yang kini dalam peringkat perbincangan dengan pengerusi badan perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

“Saya sudah mula berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan tentang calon, Insya-Allah akan ada (calon  wanita).

“Kita ada ramuan cantik, ada yang berpengalaman dan ada yang baharu. Pada akhirnya semuanya terpulang kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Ramadan Datang Lagi’ di Pangsapuri Mutiara Magna, Kepong, di sini, hari ini.

Shahrizat berkata demikian ketika ditanya tentang hasratnya untuk bertanding semula dalam PRU 14 susulan beliau mempunyai peranan penting sebagai Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri

Bagaimanapun, Shahrizat selaku Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong enggan mengulas tentang soal mahu bertanding, sebaliknya beliau mahu mengutamakan persediaan jentera Wanita UMNO.

“Itu bukan menjadi isu atau difikirkan. Bagi saya sebagai Ketua Wanita UMNO, yang paling mustahak saya mesti menyediakan jentera yang mantap, fokus dan sentiasa mendampingi rakyat,” jelasnya.

Ditanya tentang kemungkinan Parlimen Kepong bakal ditandingi Wanita UMNO, beliau menegaskan, kawasan tersebut merupakan kerusi tradisi parti komponen Barisan Nasional.

“Ini (calon) untuk semua kawasan, di Kepong adalah kerusi komponen BN, terpulang kepada Presiden,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi Wanita UMNO bagi memenangi PRU 14, beliau berkata, perkhidmatan kepada rakyat merupkan kekuatan utama sayap parti itu dan masih konsisten sehingga kini.

“Kita punya strategi mudah, kita tiada apa yang nak disembunyikan, jentera kita sangat telus, memberi perkhidmatan kepada rakyat dan masyarakat, itu kekuatan kita.

“Kita tiada cara lain, kita kuat dengan rakyat, kita berkhidmat untuk mereka, kita jadi mata dan telinga mereka, mereka akan sokong kita,” katanya. – MalaysiaGazette