Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Bagi memperkasakan lagi Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar perlembagaan badan itu ditukar seiring dengan perkembangan semasa negara.

Timbalan Perdana berkata, untuk menjadi lebih perkasa, MBM perlu mempelbagaikan struktur organisasinya agar acuan belia dan kepimpinan boleh dipertahankan mengikut acuan dan eko-sistem negara.

“Saya menyarankan agar MBM lihat kembali perlembagaan yang ada supaya MBN mempunyai pemimpin-pemimpin mengikut komposisi penduduk, etnik negara ini supaya MBM dapat diperkasakan.

“Walaupun kita berbeza pandangan, suara belia semua kumpulan etnik harus didengar. Tapi sampaikanlah pendapat dengan kebijaksanaan, ketertiban dan ketatasusilaan.

Belia kena lihat 33 tahun ke hadapan, biarpun ia tempoh yang panjang kita kena ambil peduli untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucaptama perasmian Anugerah Perdana Belia Negara 2017 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Timbalannya, Datuk S. Saravanan serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’ammar Ghadafi Jamal Wira Jamaludin.

Hasil kajian Jawatankuasa Kerja MBM 2016-2018, menunjukkan hanya empat daripada 27 jawatan tertinggi badan itu dipegang oleh bukan Melayu.

Zahid turut mengingatkan para belia supaya sentiasa aktif dan melibatkan diri dalam setiap program yang diadakan oleh MBM.

“MBM kena ajak kawan-kawan dari pelbagai kaum aktif dalam persatuan belia kerana belia sebagai sebuah persatuan adalah tapak untuk menunjukkan kepimpinan yang mantap dalam apa juga organisasi nanti,” jelas Zahid.

Justeru katanya, kerajaan sentiasa mengambil peduli dan prihatin kepada belia-belia di negara ini kerana merekalah yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.

“Saya minta YB Khairy untuk melihat kembali perlembagaan MBM yang ada. MBM mesti lihat komposisi kaum dalam kepimpinan MBM agar semua kumpulan etnik diberikan kepedulian.

“Kita ada Parlimen di peringkat belia. Jadi kena lihat semula komposisi kaum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi kos pentadbiran semua agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan berbanding hanya RM8 juta setahun sebelum ini. – MalaysiaGazette