Zakaria Arshad (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Pengurus Besar Sinograin, Wang Zengli.

BEIJING – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sinograin Oils Corporation (Sinograin) bagi menerokai peluang membekal dan mengedarkan produk minyak sawit ke pasaran pertengahan dan hiliran di China.

Sinograin adalah anak syarikat milik penuh China Grain Reserves Corporation, iaitu organisasi milik kerajaan, yang mengurus dan mentadbir rizab bijirin dan minyak serta mempunyai fungsi membeli, menyimpan, mengangkut, memproses dan mendagangkan.

Sinograin menngeluarkan minyak boleh dimakan daripada kacang soya, minyak sawit dan lain-lain.

Ketika ini, syarikat berkenaan mengedar dan menjual minyak boleh dimakan dengan jenama sendiri terus kepada pasaran domestik.

Sinograin mengimport 700,000 metrik tan (MT) minyak sawit setahun dan menjangkakan permintaannya akan terus meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan populasi di China.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, China adalah pasaran minyak sawit mentah (MSM) kedua terbesar FGV dengan kapasiti eksport
308,040 MT pada lalu.

“Kami mahu mengambangkan perniagaan di China dan percaya FGV serta Sinograin akan memenuhi keperluan masing-masing.

“Sinograin mempunyai akses kepada minyak sayuran (selain minyak sawit dan kelapa) seperti kacang soya dan rapeseed manakala FGV mempunyai akses kepada lebih tiga juta tan minyak sawit,” katanya.

Sinograin juga mempunyai kemudahan penyimpanan minyak boleh dimakan dan minyak bijirin, pemprosesan dan rangkaian pengedaran bertaraf dunia di China dan FGV mempunyai fasiliti dalam pengeluaran, kilang, penapisan dan penyimpanan minyak sawit bertaraf dunia di Malaysia serta Indonesia.

“Menerusi MoU ini, FGV berharap untuk mengembangkan lagi rangkaian pengedaran dan logistik di China menerusi pelbagai fasiliti penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran
strategik Sinograin. FGV boleh mengambil kesempatan dari pengetahuan luas Sinograin mengenai pasaran minyak boleh dimakan di China,” kata Zakaria.

Beliau berkata, FGV juga berpeluang untuk mengintegrasikan anak syarikat sedia ada FGV China Oils Ltd (FGVCO) di Dongguan, Guangdong dengan operasi domestik Sinograin untuk mencipta nilai tambah dan penjimatan kos kepada kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini jug akan membolehkan FGV menerokai pengembangan bahagian hiliran dalam pembekalan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran minyak dicampur, lelemak dan lelemak khusus bersama Sinograin,” tambah beliau.

Sebagai pengguna minyak sawit ketiga terbesar dunia, China menggunakan 5.05 juta MT minyak sawit pada 2016 berbanding hanya 2.02 juta MT pada 2001.

Jangkaan penggunaan minyak sawit akan terus meningkat dipacu oleh peningkatan populasi dan perubahan dalam gaya kehidupan yang menjurus ke arah permintaan terhadap minyak boleh dimakan yang lebih sihat. – MalaysiaGazette