AirAsia
AirAsia

KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Everbright Group dan Kumpulan Kerja Kerajaan Henan untuk meneroka rancangan menubuhkan syarikat penerbangan tambang murah di China.

Dalam kenyataannya di Bursa Malaysia hari ini, AirAsia berkata, MoU tersebut membolehkan syarikatnya dengan Everbright dan kerajaan Henan mengesahkan minat masing-masing dalam membentuk usahasama dengan entiti AirAsia (China).

Menurut syarikat penerbangan tambang murah itu, syarikat-syarikat yang telah memeterai MoU tersebut mahu menubuhkan AirAsia (China) di bandar raya Zhengzhou yang bakal dijadikan ibupejabat AirAsia (China).

“MoU ini tidak memerlukan pihak terlibat terikat dengan kontrak undang-undang dan ia hanya mahu mengesahkan minat masing-masing di dalam membina usahasama bagi sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang dikenali sebagai AirAsia (China) di China sama ada melalui pengambilan alih atau mendapatkan lesen syarikat penerbangan baharu.

“Dibawah MoU ini, AirAsia (China) akan menghantar permohonan untuk mendapatkan permit operasi di China kepada Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC),” katanya.

Tambah AirAsia, kerjasama tersebut turut melihat kepada pembangunan infrastruktur yang mana mereka akan melabur di dalam pembangunan terminal syarikat penerbangan murah di Zhengzhou, sebuah akademi penerbangan untuk juruterbang, latihan jurutera dan krew serta penyedia penyenggaraan, membaiki kerosakan dan baik pulih (MRO).- MalaysiaGazette