SPRM
ALOR SETAR – Empat termasuk seorang suspek bergelar ‘Datuk’ yang direman bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan permit kerja ekspatriat dan profesional warga asing bernilai lebih RM20 juta, dibebaskan hari ini.

Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar Rusmini Mat Rashid membenarkan empat suspek lelaki masing-masing berusia 53, 30, 34 dan 48 tahun itu dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas reman ke atas mereka tamat hari ini.

Kesemua mereka dibenar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun reman pegawai kanan Imigresen di Padang Besar, Perlis, disambung selama enam hari bermula hari ini.

Dalam Ops Lavish 8 Mei lalu, SPRM menahan seorang pegawai kanan Imigresen Padang Besar berusia 37 tahun, seorang pegawai penguat kuasa Imigresen Padang Besar berusia 34 tahun dan seorang kontraktor berusia 48 tahun di dua lokasi sekitar Alor Setar dan Perlis.

Mereka disyaki menerima rasuah bagi meluluskan pas ekspatriat pengambilan pekerja mahir dan profesional yang melibatkan 339 permohonan dengan 18,626 pas diluluskan sejak 2015.

Susulan itu SPRM Kedah berjaya merampas barangan dan wang bernilai RM1.9 juta membabitkan lima kenderaan mewah dan sebuah motosikal berkuasa tinggi, jam tangan dan beg tangan wanita berjenama serta deposit tetap hampir RM1 juta.

Hasil siasatan membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki pada 9 Mei iaitu seorang kontraktor bergelar Datuk berusia 53 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seorang lagi berusia 37 tahun di sebuah rumah di Petaling Jaya.

Mereka dipercayai menjadi penjaga aset dan harta kepada suspek utama (pegawai kanan Imigrsen) berkenaan.

SPRM turut menyita sejumlah RM3 juta termasuk wang tunai RM1.5 juta di rumah seorang daripada dua suspek berkenaan (yang ditahan pada 9 Mei) dan menjadikan jumlah sitaan dan pembekuan setakat ini berjumlah RM6.57 juta.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah.

— BERNAMA