Noh Omar

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat ‘bermain wayang’ apabila teragak-agak memecat tiga exco Pas, kata Tan Sri Noh Omar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu mendakwa tindakan Mohamed Azmin itu membuktikan seolah-olah kedua-dua pihak, baik Pas atau PKR, mempunyai kepentingan peribadi tersendiri.

Ia dapat dilihat apabila kesemua exco Pas berkenaan enggan melepaskan jawatan mereka dan Mohamed Azmin pula selaku Timbalan Presiden PKR tidak merombak barisan exco negeri itu.

“Azmin terkenal sebagai pemimpin yang menghormati perjuangan parti dan sepatutnya sebagai menteri besar, beliau ada hak mutlak untuk menukar barisan pimpinan negeri yang sedia ada.

“Namun, sehingga kini ia tidak dilakukan. Tindakan Azmin dikatakan mengarahkan tiga exco Pas terbabit melepaskan jawatan, seperti sengaja ingin bermain sandiwara,” kata Noh.

Beliau berkata demikia kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival Muar di Dataran Tanjung Emas di Muar, Johor semalam.

Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulama Pas sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta-merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.

Antaranya, PKR didakwa telah mengkhianati hubungannya dengan Pas kerana bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang Pas dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Tambah Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Azmin dilihat hanya bersandiwara kerana beliau mempunyai kuasa mutlak menukar barisan exco sekiranya mahu dan tidak perlu meminta tiga exco Pas itu meletakkan jawatan.

Selain itu, menurutnya, ketiga-tiga exco Pas yang tidak melepaskan jawatan dan tidak mustahil juga ‘melompat’ parti demi kepentingan peribadi. – MalaysiaGazette