Jian Dar didakwa memberi rasuah kepada Ketua Pembantu Penguat Kuasa Gred L10 yang bertugas di SPAD di Wilayah Selatan, Ahmad Shafiee Jelani, 35, yang bertugas untuk tidak mengeluarkan saman dan menyita kenderaan lori yang tamat tempoh permit.

JOHOR BAHRU – Gara-gara memberi rasuah RM300 kepada seorang anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mei tahun lalu, seorang pemandu lori
dihukum penjara sehari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir turut memerintahkan tertuduh, Ng Jian Dar, 25, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mohd. Fauzi menetapkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan beliau.

Jian Dar didakwa memberi rasuah kepada Ketua Pembantu Penguat Kuasa Gred L10 yang bertugas di SPAD di Wilayah Selatan, Ahmad Shafiee Jelani, 35, yang bertugas untuk tidak mengeluarkan saman dan menyita kenderaan lori yang tamat tempoh permit.

Perbuatan tersebut dilakukan di Batu 3, Jalan Kluang-Mersing, Kluang pada pukul 12.15 tengah hari ketika operasi bersepadu bagi pemeriksaan kenderaan dijalankan di kawasan berkenaan pada 12 Mei tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Nor Syarina Raizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette.