Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Tiga Exco Pas di Selangor akan terus kekal memegang jawatan dalam kerajaan negeri selagi mana mereka masih mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketiga-tiga exco itu akan meneruskan tugas mereka seperti biasa dan nasib mereka hanya boleh ditentukan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah selaras Perlembagaan Negeri Selangor.

“Pelantikan exco itu dibuat oleh Sultan Selangor, atas nasihat daripada Menteri Besar. Selagi kita boleh jalan, kita akan teruskan kecuali ada keputusan baharu yang dibuat oleh pihak lain, bukan daripada pihak Pas.

“Kita melihat pentadbiran Selangor tenang, berjalan dengan baik, exco kita cemerlang dan rakyat melihat bahawa ini tak perlu diganggu, kita tak perlu ganggu dengan perkara pentadbiran,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Beliau mengulas kecaman pelbagai pihak khususnya bekas rakan Pakatan Harapan yang mendesak ketiga-tiga exco Pas meletakkan jawatan susulan keputusan Majlis Syura Ulamak Pas minggu lalu yang memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Malah, desakan itu juga membawa kepada wujudnya khabar angin mengatakan ketiga-tiga Exco Pas itu telah diarahkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim juga berkata, pihaknya senada dengan kenyataan Mohamed Azmin baru-baru ini bahawa jawatan exco itu merupakan mandat rakyat yang perlu terus digalas sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Dulu pernah bertukar menteri besar pun di Selangor, mandat ini terus berjalan,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengesahkan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang surat atau panggilan telefon agar ketiga-tiga exco Pas meletakkan jawatan ataupun dipecat.

“Kita ada pertemuan dengan ketiga-tiga exco kita selepas pertemuan mereka dengan Menteri Besar bersama Pesuruhjaya Pas Selangor. Dalam pertemuan tersebut, kita tak dimaklumkan bahawa Menteri Besar mengeluarkan sebarang arahan (letak jawatan atau pecat).

“Setakat ini secara rasmi, kita tak menerima sebarang dokumen atau surat yang mengarahkan untuk berbuat demikian,” katanya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang media parti PAS dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2017
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang media parti PAS dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2017

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, exco kerajan negeri Pas perlu kekal dalam pentadbiran Selangor mengikut undang-undang dan perlembagaan di negeri berkenaan.

“Dalam Perlembagan Selangor, secara jelasnya menyatakan bahawa seseorang ahli exco memegang jawatan atas perkenan Sultan Selangor. Selagi Sultan Selangor memperkenankan ahli exco Pas memegang jawatan, kita (Pas) kekal di situ.

“Hanya Sultan Selangor saja yang boleh mengarahkan seseorang Exco itu letak jawatan ataupun dipecat, walaupun ia atas cadangan daripada Menteri Besar Selangor itu sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette