Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim mengkritik Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana tidak berani menjawab soalan berkaitan hudud.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mendakwa pemimpin Islam dalam Pakatan Harapan (PH) dilihat takut-takut untuk menjawab soalan berhubung perkara itu.

“Pemimpin Islam dalam PH (kecuali Tun Dr. Mahathir Mohamad) sentiasa takut menjawab soalan mengenai hudud. Wan Azizah ialah seorang daripadanya,” tulisnya di Twitter hari ini.

Zaid berkata, mereka yang mahu menjadi pemimpin di sebuah negara berbilang bangsa dan agama perlu bersedia mempertahankan institusi dan undang-undang sekular.

Katanya, pemimpin Islam dalam PH tidak memahami undang-undang dan dasar-dasar kerajaan yang perlu digubal berdasarkan konsep tunggal, iaitu Perlembagaan negara ialah sekular.

Ujarnya, hanya sebuah negara sekular boleh memastikan rakyat menikmati kebebasan dan mempunyai pilihan sendiri, namun ia bukanlah undang-undang agama.

Pada Khamis lalu, Majlis Syura Ulama Pas membuat ketetapan menamatkan kerjasama dengan PKR ekoran pelanggaran tiga perkara.

Ia termasuk menentang sebahagian agenda Islam yang dibawakan Pas seperti rang undang-undang dibawakan parti Islam itu untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Dalam responsnya sehari selepas itu, Wan Azizah langsung tidak mengkritik Pas, sebaliknya menggesa semua ‘parti politik progresif’ untuk menyelamatkan Malaysia. – MalaysiaGazette