KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. dilaporkan akan menubuhkan sebuah anak syarikat di Kemboja bagi memenuhi peningkatan penumpang yang terbang ke Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville dari Malaysia.

Ini berikutan laporan berita minggu lalu yang menyebut AirAsia akan mula menjual tiket ke laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Sihanoukville yang mana penerbangan pertama dijadualkan berlepas pada 9 Ogos ini.

Khmer Times hari ini yang memetik Menteri Kerjaraya dan Pengangkutan Kemboja, Sun Chanthol sebagai berkata, anak syarikat baharu itu akan dinamakan sebagai AirAsia Cambodia.

Menurut laporan tersebut, idea untuk menubuhkan AirAsia Cambodia diilhamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam mesyuaratnya dengan Presiden Kemboja, Hun Sen semasa Forum Ekonomi Dunia ASEAN minggu lepas.

Chantol berkata, keputusan untuk menubuhkan anak syarikat Kemboja itu menunjukkan keyakinan industri terhadap dasar langit terbuka negara berkenaan sambil menambah kertas cadangan telah pun dihantar kepada Majlis Menteri-Menteri untuk kelulusan.

Sebelum ini AirAsia hanya terbang dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh dan Siem Reap setiap hari. – MalaysiaGazette