Azlan Man
Azlan Man

KUALA LUMPUR – “Oleh kerana tidak ada undang-undang yang mengharamkan penanaman pokok ketum ia menjadi penyebab tiada sebarang penguatkuasaan bagi mengharamkan aktiviti berkenaan”.

Itu kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang turut mengakui pokok ketum banyak ditanam di beberapa kawasan di Perlis terutama di Padang Besar, Arau dan Kangar.

Menurutnya, aktiviti penanaman pokok ketum memang sudah lama di negeri itu selain di Kedah dan Terengganu.

“Ketum ini tidak diharamkan dan penanamannya masih lagi dibenarkan cuma penyalahgunaannya sahaja yang menjadi kesalahan daripada segi undang-undang.

“Jadi, nak tanam banyak mana pun tanamlah sebab tidak ada undang-undang yang nak sekat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Azlan berkata demikian sebagai mengulas pendedahan MalaysiaGazette semalam berhubung penanaman pokok ketum yang berleluasa di Perlis.

Bagaimanapun Menteri Besar itu menjelaskan, kerajaan negeri tidak menggalakkkan aktiviti penanaman pokok tersebut yang banyak memberi keburukan kepada golongan muda khususnya pelajar sekolah akibat daripada penyalahgunaan.

Portal ini menerusi satu video itu memaparkan pokok ketum menjadi sumber pendapatan kepada pengusahanya di Perlis meskipun ditanam dalam skala kecil.

Mengulas lanjut, Azlan menafikan ketum akan dijadikan sebagai hasil eksport kerajaan negeri sebaliknya apa yang berlaku ia diseludup oleh sindiket dari negara jiran ekoran mahu mengaut keuntungan.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga tidak pernah mengutip hasil daripada pengusaha ketum meskipun terdapat banyak ladang-ladang besar pokok itu di negeri berkenaan.

“Kita tahu ada kebaikannya pokok ketum ini tapi banyak orang salah guna hingga memberikan kesan negatif yang amat jelas kepada masyarakat, sebab dicampurkan dengan macam-macam benda yang membahayakan tubuh badan. – MalaysiaGazette