Azam Baki

KUALA LUMPUR – Seramai lima individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana memberi rasuah kepada penjawat awam telah dituduh di mahkamah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pertuduhan tersebut melibatkan masing-masing dua individu di Sabah dan Terengganu manakala seorang lagi di Johor Bahru.

“Tiga daripada lima tertuduh terbabit telah dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah atas pendakwaan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tertuduh yang masing-masing dari Kuala Terengganu dan Kota Kinabalu berusia 33 dan 40 tahun dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM10,000.

Manakala bagi kes di Johor Bahru, pemandu lori berusia 25 tahun turut menerima hukuman penjara sehari dengan denda sebanyak RM20,000.

Azam menegaskan, SPRM akan sentiasa menjalankan siasatan bukan sahaja terhadap penerima malah, kepada pemberi rasuah kerana di bawah Akta SPRM 2009, pemberi dan penerima adalah melakukan kesalahan yang sama.

Katanya, bagi membantu SPRM menyiasat pihak yang memberi suapan, mereka yang ditawarkan rasuah hendaklah bekerjasama membuat aduan kepada SPRM.

Pada minggu lepas, seramai 14 individu yang disiasat SPRM atas kesalahan memberi rasuah didakwa di mahkamah di seluruh negara. – MalaysiaGazette