Lakaran artis Bandar Malaysia

KOTA KEMUNING – IWH CREC Sdn. Bhd. masih dibenarkan untuk membida projek hartanah di Bandar Malaysia asalkan tawaran tersebut baik kepada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi gambaran bahawa bidaan baharu bagi projek Bandar Malaysia diperlukan kerana nilai tanah di kawasan lapangan terbang lama di Sungai Besi itu telah meningkat.

“Semasa kunjungan PM ke Beijing, beliau telah menegaskan bahawa konsortium baharu boleh melibatkan syarikat-syarikat konsortium terdahulu.

“Mereka masih boleh menyertai konsortium tersebut asalkan jumlahnya sesuai.

“Urusniaga ini bukan ‘flip flop’ kerana terdapat beberapa syarat yang tidak berjaya dipenuhi oleh konsortium terdahulu jadi kerajaan terpaksa menamatkan perjanjian tersebut secara sah dan perlu memanggil tender baharu yang bermanfaat kepada negara kerana nilai tanah tersebut telah meningkat dengan tinggi,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, penamatan perjanjian berkenaan sepatutnya dillihat secara berasingan di antara kerajaan dan IWG CREC yang mana mempunyai kaitan dengan Tan Sri Lim Kang Hoo.

Kang Hoo memiliki kepentingan di dalam IWH dan juga merupakan pemegang saham dalam Iskandar Waterfront City Bhd. dan Ekovest Bhd.

“Tan Sri Lim Kang Hoo dan IWH masih mempunyai banyak kerja dengan kerajaan cuma syarat-syarat dalam perjanjian Bandar Malaysia sahaja yang tidak dapat dipenuhinya.

“PM juga telah membuat keterangan yang mengatakan konsortium baharu untuk projek Bandar Malaysia masih boleh melibatkan syarikat lama,” katanya. – MalaysiaGazette