KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memperkenalkan Hari Keselamatan Tenaga (TSD) sebagai acara tahunan bagi membudayakan amalan keselamatan kepada seluruh 35,000 warga kerjanya.

Ia turut melancarkan Life-Saving Rules (LSR), iaitu satu peraturan keselamatan bagi memastikan kerja-kerja berisiko tinggi dilaksanakan dengan selamat, selain mempertingkatkan prestasi keselamatan TNB secara amnya.

“Keselamatan pekerja adalah paling utama dalam TNB,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. ketika berucap di majlis perasmian TSD 2017 dan pelancaran LSR oleh Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie.

Menurut Azman, LSR tersebut mesti dipatuhi warga kerja TNB dan kontraktor-kontraktornya pada setiap masa di premis TNB atau ketika melakukan kerja-kerja TNB.

“Apabila warga kerja atau kontraktor berhadapan situasi yang mana mereka tidak dapat mematuhi peraturan-peraturan ini, mereka mesti menghentikan kerja itu serta-merta dan memaklumkannya kepada pengurus atau penyelia mereka,” kata Azman.

TSD 2017, dengan tema Get Home Safe turut melibatkan pameran oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti DOSH, Suruhanjaya tenaga, CIDB, PERKESO dan JKR. – MalaysiaGazette