Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melawat Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN).

Lawatan selama 15 minit itu bagi mendapatkan perkembangan terbaharu mengenai pembedahan pintasan jantung yang dibuat terhadap Hadi dua hari lalu.

“Sempat ziarah Tuan Guru Haji Hadi di IJN pagi tadi. Selama 15 min di sana, saya bertemu juga dengan keluarga Haji Hadi dan doktor yang merawat beliau.

“Alhamdulillah pembedahan berjalan dengan lancar, kini beliau sedang dalam proses pemulihan. Sama-sama kita doakan beliau segera sembuh dan dalam perlindungan Allah SWT sentiasa,” tulis Najib sejurus selesai menziarahi Ahli Parlimen Marang itu pagi ini.

Semalam, Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan Hadi semakin baik selepas menjalani pembedahan.

Abdul Hadi sebelum itu berjaya menjalani pembedahan penggantian injap pada jantung di IJN kerana injap jantung yang bocor. – MalaysiaGazette.