Pegawai SPRM mengiringi anggota polis berpangkat Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk perintah reman di Mahkamah Magistret hari ini. -Bernama

MELAKA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas sejumlah wang tunai bernilai kira-kira RM800,000 di rumah seorang anggota polis yang ditahan membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Sumber SPRM memberitahu wang tunai berkenaan ditemukan di dalam stor di rumah anggota polis berpangkat koperal berkenaan di Kuarters Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ketika serbuan dilakukan pada jam 2.15 petang, semalam.

Astro Awani melaporkan, difahamkan, suspek lelaki berusia 52 tahun itu berperanan mengutip serta mengumpulkan wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut yang terbabit.

Dipercayai ada lagi tangkapan susulan sekitar Melaka selepas ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Operasi, SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Perintah reman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 Mei ini dikeluarkan majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas membenarkan permohonan SPRM.

Suspek bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi Dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ditahan SPRM jam 2.15 petang semalam.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (b) dan 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam kes berasingan, seorang pegawai polis berpangkat inspektor, Zulhanan Abd Hamid, 35, yang bertugas di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), IPD Subang Jaya, Selangor direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan bernilai RM5,000.

Dia ditahan SPRM di pejabatnya di IPD Subang Jaya pada pukul 1.10 petang semalam kerana didakwa menerima suapan sebagai balasan tidak memfailkan kes terhadap pengadu yang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan di mahkamah.