Kertas undi awal tidak dikira awal seperti tular dalam media sosial
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta parti politik yang mengetahui mengenai pemindahan pengundi di mana-mana negeri untuk membuat bantahan kepada SPR secepat mungkin, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, langkah itu adalah proses terbaik untuk diselesaikan selain menggalakkan pemilih berdaftar untuk membuat semakan dan bantahan dengan alasan tertentu.

“SPR mengikut peraturan yang diperuntukkan kepada kita. Kalau ada rasa tidak puas hati terhadap bantahan dan apa saja yang berkaitan pendaftaran pemilih , ada tempoh untuk buat bantahan.

“Apabila ada bantahan, ada pegawai SPR di setiap negeri akan turun dan melihat bantahan itu. SPR tidak akan menolak apa-apa bantahan berdasarkan andaian,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan Pas Kelantan mengenai pemindahan pengundi secara besar-besaran dilakukan di negeri itu.

Mohd Hashim berkata demikian pada sidang media pengumuman Pilihan Raya Kecil DUN Pujut di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang memberi amaran kepadanya agar tidak menjadikan suruhanjaya itu sebagai ‘kuda tunggangan’ BN, Mohd Hashim berkata:

“Saya cukup menghormati Abdul Rashid dan mantan-mantan SPR. Saya adalah mekanisme kesinambungan pengerusi sebelum saya.

“Dahulu saya menghormati Rashid sebagai pengerusi SPR dan sekarang sebagai ahli politik,” katanya.

Mohd Hashim menegaskan bahawa beliau dan SPR tahu apa tugas dan tanggungjawab suruhanjaya itu kepada negara.

“Secara peribadi, saya tidak pernah kecil hati kerana orang politik kata daripada perspektif politik dan masa Abdul Rashid jadi Pengerusi SPR dia lihat daripada perspektif SPR,” katanya. – Bernama