KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka didagangkan tinggi minggu depan susulan sentimen yang lebih baik hasil pemulihan sederhana pasaran global dan harga-harga komoditi yang membantu melegakan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, pasaran saham serantau, termasuk Malaysia, kembali mengukuh, didorong oleh prestasi Wall Street yang lebih baik, selain data ekonomi yang lebih kukuh berdasarkan data pekerjaan dan aktiviti perniagaan selepas jualan besar-besaran dua hari lalu.

Beliau berkata pelabur akan mengalihkan perhatian mereka kepada pemangkin tempatan ekoran kebimbangan yang melanda politik Amerika Syarikat sudah reda, katanya, dan menambah pasaran tempatan dan serantau juga akan terus memantau prestasi Wall Street untuk petunjuk seterusnya.

Pemulihan harga minyak mentah juga menyumbang kepada kedudukan yang lebih baik dalam pasaran tempatan minggu depan.

Pada Jumaat, minyak mentah Brent meningkat 28 cent kepada AS$52.79 setong manakala minyak mentah AS meningkat 29 cent kepada AS$49.64 setong, susulan keyakinan yang semakin meningkat bahawa negara pengeluar utama akan terus mengurangkan pengeluaran untuk mengurangkan lebihan minyak mentah.

Di pasaran tempatan, Nazri berkata data Keluaran Dalam Negara Kasar yang menggalakkan dengan pertumbuhan kukuh pada suku pertama sebanyak 5.6 peratus minggu ini, juga mendorong prestasi di bursa tempatan.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan tidak banyak berubah ekoran kedudukan Wall Street yang lemah, selain isu politik di AS.

Berasaskan perbandingan mingguan, FBM KLCI susut 7.59 mata kepada 1,768.28, Indeks FBM Emas turun 32.22 mata kepada 12,685.88, Indeks FBMT 100 merosot 40.83 mata kepada 12,307.17, Indeks FBM Emas Shariah susut 48.44 mata kepada 13,009.49, dan FBM 70 susut 5.95 mata kepada 15,313.96, manakala FBM Ace melonjak 163.45 mata kepada 6,601.71.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 55.83 mata kepada 16,355.32, Indeks Perladangan merosot 46.79 mata kepada 8,066.00 manakala Indeks Perusahaan turun 3.01 mata kepada 3,262.22.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 16.98 bilion unit bernilai RM15.60 bilion berbanding 13.49 bilion unit bernilai RM10.82 bilion, minggu lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 11.30 bilion saham, bernilai RM14.71 bilion berbanding 8.43 bilion saham bernilai RM10.10 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 3.70 bilion unit bernilai RM611.29 juta berbanding 3.89 bilion unit bernilai RM564.34 juta sebelumnya. Jumlah dagangan waran bagaimanapun meningkat kepada 1.96 bilion unit bernilai RM268.02 juta berbanding 1.11 bilion unit bernilai RM143.90 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette