WASHINGTON – Dua jet pejuang Amerika Syarikat mengiringi sebuah penerbangan American Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Honolulu selepas satu gangguan dilaporkan berlaku dalam pesawat, menurut jurucakap tentera.

Bagaimanapun gangguan itu tidak didedahkan oleh tentera mahupun American Airlines.

Tetapi media tempatan melaporkan ada penumpang telah cuba untuk memasuki ke dalam kokpit pesawat ketika pesawat terbang ke Honolulu.

HawaiiNewsNow, sebuah konsortium media memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, lelaki itu adalah warga Turki.

Lelaki itu telah didapati melanggar keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles tetapi dibenarkan menaiki penerbangan tersebut.

American Airlines mengesahkan bahawa anak kapal pesawat dari Los Angeles ke Honolulu telah meminta penguatkuasa undang-undang untuk berada di pesawat Airbus A321 ketika mendarat kerana ada “gangguan semasa penerbangan.”

Syarikat penerbangan itu berkata, pesawat itu mendarat dengan selamat di 11.35 pagi di Hawaii.

Kejadian itu menyebabkan tentera udara memintas pesawat berkenaan.

“Jet pejuang F-22 mengiringi pesawat berkenaan hingga ke lapangan terbang mengikut prosedur pertahanan.

“Pihak berkuasa pula bertindak sebaik sahaja pesawat itu mendarat,” kata Komander Dave Benham. – MalaysiaGazette