RIYADH – Arab Saudi yang akan menerima kunjungan Presiden Donald Trump menembak jatuh peluru berpandu balistik yang disasarkan ke ibu negara, Riyadh oleh pemberontak Yemen lewat petang semalam.

Unit pertahanan udara ‘memintas sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan militan Houthi’ dan ia jatuh di kawasan tidak berpenghuni, kira-kira 180 kilometer dari Riyadh, kata kenyataan gabungan pertahanan yang diketuai Arab Saudi, lapor AFP.

Amerika Syarikat membekalkan senjata, perisikan dan pengisian bahan bakar di udara kepada gabungan ketenteraan itu dan Presidennya dijangka tiba hari ini untuk lawatan dua hari bagi menghadiri sidang kemuncak dengan pemimpin Arab Saudi, negara-negara Teluk dan Islam.

Peluru berpandu itu merupakan sasaran terjauh oleh pemberontak Houthi dan sekurtunya, bekas anggota angkatan keselamatan Yemen yang dikaitkan dengan bekas Presiden Ali Abdullah Saleh mula membalas serangan ke atas Arab Saudi sejak dua tahun lalu.

Serangan peluru berpandu balistik dan serangan roket jarak dekat yang sering dilakukan di selatan sempadan Arab Saudi selepas serangan udara dilancarkan terhadap pemberontak Yemen.

Perikatan ketenteraan campur tangan di Yemen lebih dua tahun bagi menyokong President Abedrabbo Mansour Hadi.

Rangkaian televisyen Al-Masirah kendalian Houthi berkata di akaun Twitter bahawa puak pembrontak telah melancarkan peluru berpandu balistik, Volcano-2 (Borkan), ke ibu negara Arab Saudi.

Pelancaran peluru berpandu itu secara kebetulan dengan serangan udara pihak parikatan terhadap ibu negara Yemen, Sanaa yang dikuasai puak pemberiontak, menurut Twitter Al-Masirah.

Riyadh dan Washington menuduh Iran membekalkan senjata kepada Houthi tetapi pada Januari lalu Panel Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan ‘ia tidak cukup bukti bagi mengesahkan sebarang pembekalan senjata pada skala besar’ dari Iran, seteru serantau Riyadh.

Houthi mendakwa ia telah membangunkan peluru berpandu Borkan namun panel PBB berkata, puak pemberontak telah ‘memulakan kempen propaganda yang mendakwa penggunaan (peluru berpandu) buatan tempatan, bertentangan dengan penggunaan peluru berpandu tanpa bersedia’.

Bagaimanapun, puak pemberontak itu berkata, ia telah melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat, Scud dan roket-roket.

Arab Saudi telah melancarkan peluru berpandu Patriot untuk membalas serangan tersebut.

Pada Oktober lalu, puak pemberontak melancarkan salah satu peluru berpandu jarak jauh mereka ke Arab Saudi dengan melancarkan peluru berpandu balistik yang kemudiannya ditembak jatuh berhampiran kota Mekah, serangan yang dikutuk oleh negara-negara Teluk.

Puak pemberontak menegaskan peluru berpandu itu disasarkan ke Jeddah dan bukannya Mekah. – MalaysiaGazette

Comments are closed.