Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penutupan Kembara Media Kementerian Dalam Negeri di The Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Alasan kononnya pegawai polis yang ditahan kerana rasuah disebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan lain selain makan gaji adalah kurang cerdik.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh menerima alasan itu kerana sebagai pegawai yang diberi amanah dan tanggungjawab mereka tahu batas-batas yang menyalahi undang-undang.

“Jangan guna alasan kurang cerdik. Kamu buat, kamu tanggung.

“Jangan pula kerana nila setitik, rosak susu sebelangga,” katanya pada sidang media selepas merasmi penutup Kembara Media Bersama KDN di The Royale Chulan di sini hari ini.

Beliau mengulas penahanan dua Ketua Polis Daerah (OCPD) dan seorang pegawai berpangkat Inspektor dari Kontinjen Negeri (IPK) Melaka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 Mei lalu.

Mereka yang ditahan adalah OCPD Daerah Melaka Tengah, Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan OCPD Jasin, Sakri Yusoff.

Kedua-duanya ditahan reman selama enam hari.

Jelas Ahmad Zahid, era mencari wang perlindungan dan rezeki tanpa modal telah berlalu.

“Cari rezeki dengan cara haram juga sudah berlalu. Sekarang adalah era menjalankan tanggungjawab dan amanah secara berintegriti,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam ucapan penutup program, beliau berkata, masalah besar dihadapi KDN ialah persepsi.

Katanya, walaupun dari segi pencapaian dan pembanterasan jenayah indeks menurun setiap bulan dan tahun, tetapu persepsi negatif terhadap kementerian itu masih meningkat.

Sehubungan itu, kata beliau, bagi membantu KDN memulihkan kembali persepsi itu, media harus memainkan peranan untuk mengikis tanggapan buruk masyarakat terhadap kementerian.

“Yang dapat bantu saya (KDN) ialah media. Mereka main peranan untuk wujudkan persepsi positif terhadap kementerian saya dan agensi penguatkuasa bawah KDN.

“Melalui laporannya, media boleh beri gambaran sebenar mengenai kadar jenayah indeks yang semakin menurun,” katanya. – MalaysiaGazette