Jacob George

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) percaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membuat kajian terperinci berhubung permohonan kenaikan 29 sen lagi harga gula oleh MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM).

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, banyak aspek yang perlu dikaji secara terperinci berhubung permohonan MSM itu terutama kesan kepada kenaikan harga gula kepada pengguna.

Menurutnya, sebarang kenaikan barang keperluan asas memberi kesan yang ketara kepada pengguna.

Contohnya apabila kenaikan harga petrol, semua harga makanan naik tetapi apabila harga petrol turun, harga makanan tidak turun.

“Akhirnya, yang merana kerana menghadapi kenaikan kos adalah pengguna. Jadi permohonan tersebut perlu diteliti terutama implikasinya. Saya percaya sudah pasti kerajaan juga tidak mahu rakyat terus terbeban,” kata beliau kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan MSM untuk menaikkan lagi harga gula.

Permohonan itu dibuat oleh MSM berikutan kenaikan harga gula dalam pasaran global dan kejatuhan dolar yang dijangka menjejaskan keuntungan syarikat itu pada tahun ini.

MSM telah memohon untuk menaikkan harga gula sehingga 40 sen tetapi hanya 11 sen dipersetujui kerajaan pada Mac lalu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berkata, kenaikan harga barangan pengguna tidak boleh berlaku pada masa ini kerana ia akan membebankan pengguna.

Malah, beliau akan menemui Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi membincangkan isu tersebut.

George menambah, selain memberi banyak pertimbangan kepada kenaikan harga barang, KPDNKK juga perlu lebih agresif turun padang untuk melakukan pemeriksaan harga.

“Pekedai khususnya pengusaha restoran didapati sewenang-wenangnya mengenakan caj yang tidak munasabah.

“Kalau ada kedai lain yang boleh menawarkan harga berpatutan maka pekedai yang menjual harga mahal tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette