Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan beramah mesra bersama ahli-ahli DPMM sambil diiringi oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Mohamad Alayuddin Che Hasan (dua kiri) dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu (DPMM), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee (kiri) selepas selesai Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan DPMM Kali ke-51 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dinasihatkan supaya tidak menggunakan kepentingan politik untuk mengkritik kerajaan berhubung agenda pemerkasaan perniagaan orang Melayu.

“Anda boleh kritik, kita ada ruang untuk DPMM memberi pandangan secara lebih spesifik supaya mengkritik dengan lebih berhemat, tiada masalah.

“Namun kalau kritik hanya kerana ada kepentingan politik dan di sebalik kritikan ini menyebabkan kerja kita lebih sukar. Saya beri peluang DPMM untuk hadir dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera sebagai pencadang, saya beri keutamaan kepada DPMM untuk beri idea,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Katanya, kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada DPMM yang menjadi jambatan kepada perniagaan orang Melayu Bumiputera dengan kerajaan.

“Saya tidak mahu cakap pasal expectation kerana keras sangat bunyinya, tetapi harapan kerajaan kepada DPMM tinggi kerana mempunyai peranan cukup getir.

“Jalinan kerjasama yang mantap dengan kerajaan, sebagai NGO, tugas perwakilan hari ini adalah untuk menggalas wawasan kerajaan memperkasa perniagaan orang Melayu Bumiputera. Anda tidak boleh desak kerajaan tetapi kita kena bekerjasama dengan kerajaan.

“Wawasan DPMM kena selari dengan kerajaan, kita tak boleh sama sekali bercanggah kerana kita adalah nadi kepada maju dan mundur perniagaan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan DPMM Kali ke 51 di Hotel Seri Pacific hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden DPMM yang memangku tugas-tugas presiden, Datuk Mohamad Alayuddin Che Hasan.

 

Dalam ucapannya itu, DPMM turut disaran menjadi sebuah pertubuhan tersohor yang berjaya menangani cabaran perniagaan seiring dengan perkembangan teknologi serta revolusi perindustrian keempat.

Beliau berkata, lebih 65% daripada pekerjaan dan perniagaan yang ada ketika ini tidak akan lagi wujud dalam tempoh 10 tahun akan datang berikutan perkembangan teknologi yang pesat.

“Mereka yang terlibat di dalam bidang industri pengangkutan akan terima cabaran yang lebih hebat, orang yang bertindak sebagai orang tengah, berhati-hati kerana anda akan bermasalah dalam tempoh 10 tahun akan datang. Kepada anda yang berniaga dalam sempadan daerah, negeri atau negara hati-hati kerana anda adalah sasaran kepada revolusi tersebut.

“Semua kena hadapinya kerana anda tiada pilihan lagi sebab perubahan mendadak teknologi ekoran kewujudan ekonomi digital terlalu cepat sehingga untuk bernafas dan untuk berfikir pun susah sebab negara bergerak terlalu laju,” kata Abdul Rahman.

  • MalaysiaGazette