Lim Guan Eng

PULAU PINANG – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini tegang selepas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mempertikai keputusan Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang menolak usul menuntut Ketua Menteri bercuti sehingga perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah selesai.

Ketika membangkitkan perkara itu, Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mendakwa jawapan bertulis oleh Choo Kiang bagi menolak usul itu tidak jelas.

Menurut beliau, usul yang dibawa wakil rakyat pembangkang itu tidak meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng meletak jawatan atau hilang kelayakan sebaliknya bercuti sementara menunggu siasatan kes membabitkan beliau selesai.

“Usul kita hanya  memminta supaya pegawai kerajaan negeri yang sedang disiasat bercuti bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan, bukannya soal hilang kelayakan.

“Tetapi Speker tidak jawab dan hanya jawab enam baris dalam jawapan bertulis dan itu pun tidak jelas. Tidak timbul isu tidak adil dalam usul ini dan sebab itu penting untuk ia dibahaskan,” katanya dalam sidang DUN di sini hari ini.

Terdahulu, Choo Kiang berkata, usul berkenaan ditolak kerana perkara itu sudah termaktub dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam Kerajaan Negeri termasuk kes membabitkan prosiding mahkamah, disabit kesalahan atau dalam tempoh rayuan.

Sehubungan itu, kata beliau, usul yang cuba dibawa wakil rakyat pembangkang tersebut sudah jelas sekali gus tidak perlu lagi dibahaskan di dalam sidang DUN.

“Saya tidak mahu timbul anggapan dewan ini buat ketetapan yang membawa ketidakadilan kepada penjawat awam, melainkan pegawai berkenaan membuat keputusan dan atas budi bicaranya sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid melahirkan rasa kecewa selepas usul itu beserta dua lagi usul yang mahu dibawa pembangkang ditolak daripada dibahaskan dalam sidang DUN yang bermula hari ini hingga Khamis ini.

Menurut Jahara, keputusan itu menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak bertolak ansur dengan suara bantahan selain melanggar prinsip `kebebasan bersuara’ yang sering diuar-uarkan.

Turut dikemukakan adalah usul meminta penjawat awam negeri ini bercuti sekiranya dibicarakan berkaitan kes jenayah selain usul menyelaraskan pencen bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Guan Eng ketika ini berdepan dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Setiausaha Agung DAP itu menghadapi pertuduhan  Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette