Hilmi Yahaya
PUTRAJAYA – Kesedaran orang ramai terhadap kanser dan kepentingan menjalani ujian saringan dan pengesanan awal kanser masih tidak optimum, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata ini dapat dilihat apabila kira-kira 65 peratus kes kanser di Malaysia dikesan ketika tahap teruk iaitu tahap tiga dan empat.

“Antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah tahap kesedaran mengenai kepentingan menjalani ujian saringan dan pengesanan awal masih rendah.

“Ini berlaku kerana kebanyakan pesakit tidak tahu atau tidak mengendahkan tanda-tanda dan gejala awal kanser yang mungkin wujud,” katanya ketika berucap merasmikan seminar Kesedaran Kanser Dalam Kalangan Penjawat Awam di sini hari ini.

Hilmi berkata 50 peratus daripada kematian akibat kanser boleh dicegah kerana ia dikaitkan dengan lima tingkah laku dan amalan berisiko iaitu berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, merokok serta pengambilan alkohol.

Katanya pada 2015, kanser merupakan penyebab kematian keempat paling tinggi dan menyumbang 13.56 peratus daripada semua kematian yang berlaku di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

“Bagi mengesan kanser lebih awal, orang ramai perlu mengamalkan gaya hidup sihat, jalani ujian saringan dan sentiasa dapatkan nasihat doktor,” katanya.

— BERNAMA